Anakku Sayang: 10 SEBAB BAYI ANDA MENANGIS

10 SEBAB BAYI ANDA MENANGIS

Belajar cara mengatasi bayi menangis agar cepat reda dan tenang. Selamat mencuba dan sentiasalah bersabar menghadapi kerenah bayi anda. 

1. Lapar
Ini sebab biasa kenapa bayi menangis.  Bayi anda mungkin lapar dan inginkan susu.  Ada beberapa tanda menunjukkan bahawa bayi ingin minum susu seperti menghisap jari dan menggerak-gerakkan mulutnya ke kiri dan ke kanan kerana mencari susu ibunya. Perut bayi bukan seperti perut orang dewasa.  Mereka hanya boleh mengisi susu dalam kuantiti yang sedikit sahaja dalam satu-satu masa.

Ini menyebabkan bayi akan kerap menyusu bagi memenuhi keperluannya. Berikanlah dia susu selagi dia mahu. Jika dia kenyang dia akan berhenti dan mungkin akan tertidur.

2. Lampin
Bayi menangis mungkin kerana lampinnya sudah kotor dan dipenuhi najis. Periksa lampinnya dan segera cuci dan tukar lampin baru jika anda mendapati lampinnya sudah penuh. Bayi akan kembali selesa jika lampinnya kering.

3. Demam/tidak sihat
Bayi anda mungkin ingin memberitahu bahawa dia tidak sihat seperti demam, selsema, batuk atau kolik. Cuba periksa suhu badannya. Jika benar dia tidak sihat, bawalah bayi anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

4. Sangat sejuk/ sangat panas
Seorang bayi masih tidak mampu menyesuaikan diri dengan cuaca yang terlalu sejuk atau terlalu panas. Mereka akan rasa tidak selesa dan akan menunjukkan reaksi seperti menangis bagi memberitahu orang sekelilingnya. Bedunglah atau selimutlah jika bayi anda terlalu sejuk atau pakaikanlah dia baju yang nipis jika dia terlalu panas.

5. Mengantuk
Bayi bukan pelik atau mengada-ngada. Namun itulah fitrah seorang bayi. Walaupun dia mahu tidur, kadangkala dia akan menangis untuk memberitahu ibu yang dia mahu tidur. Cuba baringkan dia, atau dodoikan lembur bayi anda. ada juga bayi tidur ketika menyusu susu ibunya. Tepuk-tepuk lembut dan alunkan ritma yang harmoni. Jika benar dia mengantuk, pasti dia akan terlena jua.

6. Perhatian
Jika bayi anda sudah kenyang atau lampinnya kering dan dia masih menangis, cuba peluk dan manjainya. Bawa bayi anda rapat ke badan. Mungkin itu yang dia mahukan!

7. Bermain
Cuba anda bermain dengannya. Permainan ringan tetapi menghiburkan seperti peek-a-boo, pasti menyeronokkan.

8. Berehat
Bayi anda mungkin mahu memberitahu anda bahawa dia mahu berehat dan letakkannya di bawah. Dia mungkin mahu bebaskan kaki dan tangannya dari pelukan atau bedungan.

9. Keselesaan
Jika anda pergi ke tempat baru atau berjalan-jalan terlalu lama, ini juga akan membuatkan bayi rasa tidak selesa dan menangis. Dia akan resah jika persekitarannya berbeza dengan keadaan rumahnya. Cuma hadkan waktu melawat anda ketika ziarah atau berjalan-jalan.

10. Tidak tahu apa yang dimahukan
Ini adalah sebab terakhir, kenapa bayi menangis. Di dalam Islam, kita percaya bahawa ada makhluk lain yang ghaib yang mungkin akan menganggu bayi. Perbanyakkanlah membaca al-Qur’an dan zikir bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Kita percaya bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan kita digalakkan berusaha untuk memberikan kesembuhan.




No comments:

Post a Comment